Perutusan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UCSF.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
Bersyukur kita ke-hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama pada Majlis Konvokesyen Yang Kedua, University College Sabah Foundation. Tahniah saya ucapkan kepada para pelajar yang mula bergelar graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian di UCSF.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para pelajar dan para hadirin, terutamanya para ibu-bapa yang turut sudi menyaksikan kejayaan anak-anak mereka. Saya percaya ibu bapa para graduan pasti amat gembira di atas kejayaan yang ditempah oleh anak-anak mereka setelah sekian lama membanting tulang menempuh ranjau untuk membesar dan mendidik anak masing-masing. Para graduan harus sedar bahawa tanpa sokongan dan galakan daripada para ibu bapa tidak mungkin anda boleh menempah tempat di menara gading dan seterusnya berjaya meraih ijazah. Jasa bakti yang disumbangkan oleh para ibu bapa adalah terlalu besar dan tidak dapat dinilai pada mana-mana garis pengukur. Justeru itu jasa dan pengorbanan besar mereka perlu dijadikan sebagai teladan hidup para graduan apabila mendirikan bahtera kehidupan masing-masing kelak.

Hari ini anda adalah graduan yang membanggakan UCSF, puncak institusi pendidikan Yayasan Sabah yang dibina khusus untuk memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan sekaligus menepati agenda pembangunan Negara, dan sosio-ekonomi Negeri Sabah, selaras dengan tuntutan pembangunan modal insan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Tujuan pendidikan universiti kini sedang pesat berubah di mana ia bukan semata-mata satu proses untuk melahirkan pekerja berilmu bagi sesebuah negara semata-mata. Tetapi peranan yang lebih penting ialah untuk membangunkan individu yang sihat dari segi fizikal dan jatidiri secara menyeluruh, berdaya tahan, responsif dan berdisiplin. UCSF juga diharap dapat menyemaikan budaya intelektualisme, profesionalisme dan integriti berteraskan nilai kemanusiaan dan etika sejagat, serta tahap keyakinan diri yang tinggi.

Negara kita kini terdedah kepada pelbagai ancaman dunia tanpa sempadan, pastinya akan menghadapi pesaing yang lebih gigih dan sarat pengetahuan. Oleh itu, jika negara ingin maju dan berjaya menguasai `pertempuran otak’ ini, graduan UCSF sebagai pejuang di barisan hadapan, memerlukan senjata dengan keupayaan untuk menggunakan kebijaksanaan mencipta dan berinovasi secara berterusan. Oleh itu, anda semua perlu bersedia berbakti dengan semangat pembelajaran berterusan dan penjanaan semula diri pasca-pandemik.

Pada hakikatnya, UCSF adalah antara satu-satunya institusi pengajian tinggi di negara kita yang telah meletakkan asas-asas untuk melahirkan para ilmuan dan bijak pandai dalam bidang pembangunan. Dalam jangka panjang, adalah menjadi harapan saya supaya graduan UCSF dapat memainkan peranan dalam membantu membangunkan negeri Sabah khasnya dan Negara kita Malaysia secara keseluruhannya supaya kita semua dapat menikmati hasil kemerdekaan negara kita. Dengan demikian, negara kita seterusnya dihormati dan dapat memainkan peranan berdiri sama tinggi di peringkat antarabangsa demi kemakmuran sejagat, dalam suasana geoekonomi, geopolitik, perubahan teknologi dan iklim cuaca dunia yang kini tidak menentu.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada anda semua.

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Yang Berbahagia Datuk Dr Mohd Yaakub b Johari JP, Pengerusi Lembaga Pengarah UCSF.

Translate »