Perutusan daripada Yang Berusaha Dr Rafiq Idris, Naib Canselor UCSF.

Assalamu’alaikum w.b.t., Salam Sejahtera dan Salam Sabah Maju Jaya,

Mari kita sama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama menghadiri majlis konvokesyen yang kedua bagi University College Sabah Foundation (UCSF). Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pelajar yang menamatkan pengajian di UCSF di peringkatkan ijazah sarjana muda, diploma dan foundation dengan jayanya.

UCSF adalah merupakan kolej universiti milik penuh Yayasan Sabah. Jika diimbau sejarah penubuhan universiti kolej ini, ia sebenarnya adalah ilham atau idea yang dicetuskan oleh Bapa Kemerdekaan Negeri Sabah, Tun Datu Mustapha bin Datu Harun seawal tahun 1960an. Allahyarham Tun Datu Mustapha pada waktu tersebut menzahirkan hasratnya bahawa sebuah kolej universiti bakal ditubuhkan di Sabah, melalui sebuah yayasan yang bakal ditubuhkan iaitu Yayasan Sabah.

Penubuhan Yayasan Sabah merupakan suatu lembaran baharu dalam sejarah pembangunan pendidikan Wilayah Sabah. Sejak penubuhannya, ramai anak Sabah telah ditaja serta dihantar untuk belajar di seluruh Malaysia dari peringkat sekolah menengah sehinggalah ke menara gading. Ramai juga yang dihantar ke pelbagai ceruk dunia untuk menyambung pengajian dalam pelbagai disiplin ilmu. Mengimbau sejarah puluhan tahun ke belakang, ramai paka-pakar, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran serta pemimpin yang telah dilahirkan hasil daripada sebuah yayasan yang ditubuhkan lebih 50 tahun ini. Selain itu, banyak juga institusi pendidikan yang telah ditubuhkan serta dibantu oleh Yayasan Sabah, seperti penubuhan YS-ITM suatu ketika dahulu, Kolej Komuniti Yayasan Sabah, Kolej Teknikal Yayasan Sabah dan juga University College Sabah Foundation (UCSF). UCSF sendiri telah didaftarkan pada tahun 2014 dan diprojeksi sebagai green model boutique university. Melihat kepada pelbagai peranan pembangunan pendidikan yang dimainkan oleh Yayasan Sabah, pada saya, Yayasan Sabah adalah merupakan salah satu contoh foundation terbaik yang pernah diwujudkan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, melihat fokusnya kepada bidang pendidikan.

Di sebalik melihat kejayaan para graduan, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua ibu bapa, penjaga, para pensyarah dan warga UCSF kerana telah membantu serta menyokong proses pembangunan pendidikan para graduan. Saya secara peribadi sangat gembira menyaksikan kejayaan ini dan percaya bahawa graduan-graduan yang hadir pada hari ini adalah para graduan yang mempunyai potensi besar. Selain mempelajari kursus-kursus mengikut bidang masing-masing, UCSF turut berusaha melahirkan pelajar yang celik hijau, kewangan dan digital. Para pelajar UCSF turut ditekankan mengenai peranan semua pihak dalam mencapai sasaran global di dalam Sustainable Development Goal 2030.

Di hari yang penuh bermakna ini, saya turut menzahirkan harapan agar graduan UCSF terus mengorak langkah untuk menyumbang kepada universiti, masyarakat, negara dan kemanusiaan secara umum. Banyak peranan yang boleh dimainkan dalam proses pembangunan negara sebagai alumni UCSF. Dalam konteks negeri Sabah, salah satu pelan pembangunan ekonomi di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya turut menekankan aspek modal insan. Peranan graduan kita dalam bidang-bidang strategik berupaya memberikan sumbangan positif kepada pembangunan negeri.

Suka saya ulangi pesanan yang biasanya diberi kepada semua pelajar saya ‘laburkan masa anda untuk ilmu pengetahuan. Pada ilmu ada cahaya, petunjuk, manfaat, penyelesaian, kekuatan & kehebatan.’

Sekali lagi tahniah, syabas dan salam maju jaya kepada anda semua.

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Yang Berusaha Dr Rafiq Idris
Naib Canselor UCSF.

Translate »